the secret of art

Saturday, April 10, 2010

Monday, March 22, 2010

Monday, October 5, 2009

Grafiti ada nilai komersial



Balai Seni Lukis Negara (BSLN) iktiraf, artis seni jalanan pamer skil

SEBELUM ini, apa yang diperjuangkan kelompok artis ini tidak difahami masyarakat. Malah, ada yang menganggap karya seni mereka sebagai vandalisme apabila melihat lakaran grafiti memenuhi dinding bangunan dan tempat tumpuan awam. Biarpun lakaran ini tampak menarik, namun persepsi negatif terhadap artis seni jalanan masih menebal.

Sehubungan itu, ruang untuk artis graffiti meluahkan kreativit agak terhad. Jika ingin berkarya pun, mereka terpaksa melakukannya secara ‘sorok-sorok’. Malangnya, karya mereka tidak akan kekal lama kerana pasti dipadam atau dicat semula oleh pihak berkuasa tempatan.

Kekangan ini terus membelenggu kelompok artis grafiti dan membantutkan perkembangan seni graffiti di Malaysia. Bukan penggiat seni grafiti tidak berusaha mencari saluran betul memaparkan karya, namun peluang sukar diperoleh.

Namun, mujurlah sejak kebelakangan ini, beberapa pihak mula membuka jalan mengkomersialkan seni grafiti. Seni grafiti mula menjadi pilihan dalam konsep pengiklanan dan promosi produk. Graffiti turut dijadikan medium penyampai mesej terutama kepada golongan muda.

Satu lagi perubahan positif dalam perkembangan seni grafiti dilihat baru-baru ini apabila Balai Seni Lukis Negara (BSLN) menganjurkan Graff Jam ‘09 di perkarangan pusat beli belah Pavilion KL.

Acara yang menghimpunkan 20 artis grafiti tempatan ini diadakan buat pertama kali, sekali gus membuktikan BSLN menyokong kegiatan seni grafiti tempatan malah sedia membantu memajukan cabang seni ini di Malaysia.

BSLN dalam usaha memartabatkan seni tampak negara, menyedari seni graffiti berpotensi dan memiliki keunikan tersendiri. Sejak beberapa tahun lalu, BSLN mula memberi ruang mempamerkan karya seni graffiti di dinding hadapan bangunan BSLN.

Tahun lalu, karya seni ini dipamerkan di Pameran Susur masa : Sejarah Seni Malaysia sebagai salah satu cabang seni yang perlu diangkat.

Melalui Graff Jam 09, BSLN bersama barisan artis graffiti cuba memperkenal dan mendekatkan seni graffiti kepada orang ramai. Selain itu, acara ini dianjur bagi menyampaikan mesej graffiti bukanlah vandalisme.
BARISAN artis grafiti yang menyertai Graff Jam '09 di Pavilion, Kuala Lumpur.

Berbeza dengan konsep grafiti yang lazimnya dikenali sebagai contengan di dinding, artis grafiti popular tempatan seperti Tha-B, The Kioue, Shieko, Joe Tribe dan Sona kali ini mencurahkan ilham di atas kanvas. Ilham ini bertemakan Tahun Baru Cina sempena majlis rumah terbuka peringkat kebangsaan yang diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, minggu lalu.

XY - Ikon Lelaki sempat menemui beberapa artis grafiti yang mengambil bahagian dalam acara meriah ini. Rata-rata mereka gembira dengan peluang yang diberi BSLN kepada penggiat seni graffiti dan melihat ia sebagai perkembangan positif.

Mari berkongsi cerita perjuangan mereka...

Apa kata artis grafiti?

>Shahrane Mat Zaini atau Tha-B, 32 tahun.
“Pembabitan artis graffiti dalam Graff Jam ‘09 bukan sekadar memeriahkan acara. Apa yang penting, idea dan pandangan kami diterima dalam menjayakan program istimewa ini.
“Karya saya sebelum ini lebih kepada konsep realist. Tetapi, sejak kebelakangan ini saya lebih gemar menampilkan tema grafik. Bagi acara ini, saya tampilkan karya yang membawa mesej perpaduan.”

> Hafiz Ab Rahman atau Katun, 22.
“Saya puji usaha BSLN kerana sedikit sebanyak ia menggalakkan artis graffiti berkarya di ruang betul.
“Sebelum ini, kebanyakan artis graffiti mencurah kreativiti dengan menconteng di tempat awam. Jika tidak pun, kami cuba memenuhi jemputan pihak yang ingin mengetengahkan karya graffiti sebagai tarikan di majlis seperti pelancaran produk atau acara seni.”

>Mohd Nazri Amran atau Phobia, 25.
“Acara ini secara tidak langsung dapat memberi mesej kepada masyarakat yang cenderung memandang serong aktiviti seni graffiti.
“Seni graffiti bukanlah vandalisme semata-mata tapi mempunyai nilai keistimewaan tersendiri dan boleh dihayati seperti karya seni lain. Di luar negara, ruang untuk berkarya bagi penggiat graffiti tidak dibezakan dengan karya seni lain.
“Saya pernah menyertai kegiatan graffiti di negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Singapura."

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my